Tuesday, 10 May 2011

Projek Baru ETP selaras dengan RFN Ke-2?


Kerajaan mengumumkan peruntukkan untuk membangunkan dan memajukan kawasan padi di MUDA serta memperkenalkan konsep baru memajukan kawasan padi di luar jelapang padi melalui penanaman beras wangi selaras dengan pengumuman projek baru ETP. Ianya adalah selaras dengan dasar RFN yang memperuntukkan Lapan (8) kawasan jelapang padi strategik iaitu Muda (MADA), Kemubu (KADA), IADA Kerian – Sungai Manik , IADA Barat Laut Selangor, IADA Pulau Pinang, IADA Seberang Perak, IADA Terengganu Utara (KETARA), and IADA Kemasin – Semerak  dan IADA Pekan-Rompin perlu dipulihara (RFN7) dan Tanah padi di luar kawasan jelapang padi yang berpotensi akan disediakan dengan infrastruktur yang sesuai bagi membolehkan kawasan ini meningkatkan produktiviti (RFN8).

Rancangan pembangunan negara dilaksanakan menerusi tiga peringkat utama iaitu Peringkat Nasional dimana pembangunan dirancang berdasarkan Rancangan Malaysia Lima Tahun (RMLT), Rancangan Fizikal Negara (RFN) dan polisi perancangan sektoral. Peringkat seterusnya melibatkan Peringkat Perancangan Wilayah serta Negeri manakala peringkat ketiga melibatkan Peringkat Perancangan Tempatan yang menghasilkan Rancangan Tempatan serta Rancangan Kawasan Khas.

Di peringkat nasional, RFN Ke-2 disediakan selari dengan RMK-10 bagi tujuan  menetapkan hala tuju strategik dan keutamaan bagi pembangunan fizikal Semenanjung Malaysia untuk mencapai Wawasan 2020. Dasar-dasar RFN diterjemahkan di peringkat negeri melalui rancangan struktur negeri dan di peringkat tempatan melalui rancangan tempatan.

Setiap  tahun, kawasan pertanian berkurangan berikutan tekanan daripada pembangunan bandar. Banyak tanah pertanian, terutama berdekatan kawasan bandar dan kawasan desa telah ditukarguna untuk pembangunan bandar. Pemuliharaan dan pengwartaan Kawasan Pertanian Utama (KPU), khususnya kawasan jelapang padi, diberikan penekanan melalui RFN Ke-2 bagi memastikan ia dikekalkan untuk tujuan pertanian dan menghalang proses perbandaran di kawasan yang dikenalpasti khusus bagi menjamin bekalan makanan Negara. Bagi tujuan tersebut, lapan kawasan jelapang dikenalpasti yang merangkumi Muda (MADA), Kemubu (KADA), IADA Kerian-Sungai Manik, IADA Barat Laut Selangor, IADA Pulau Pinang, IADA Seberang Perak, IADA Terengganu Utara (KETARA), and IADA Kemasin-Semerak perlu dipulihara untuk memastikan bekalan makanan yang berterusan (dasar RFN7). Sawah padi di kawasan jelapang padi di kawasan bandar tidak boleh ditukar untuk kegunaan lain selain aktiviti berkaitan padi.

Sawah padi sedia ada yang berpotensi di luar kawasan jelapang pula perlu disediakan dengan prasarana lengkap untuk meningkatkan produktiviti dan pengeluaran. Di bawah RFN Ke-2, kawasan luar bandar dan Pusat Pertumbuhan Desa perlu dibangunkan bagi memastikan peningkatan pendapatan dan kualiti hidup yang lebih baik untuk rakyat termasuk masyarakat Orang Asli.

Dasar yang digariskan melalui RFN Ke-2 ini adalah selaras dengan usaha kerajaan dalam meningkatkan sektor ekonomi melalui empat tonggak bagi mendorong perubahan iaitu 1Malaysia, Program Transformasi Kerajaan (PTK), Program Transformasi Ekonomi (PTE) dan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10).

Selaras dengan itu, pada 10 Mac 2011, kerajaan telah mengumumkan Sembilan (9) projek permulaan baru di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP) dengan pelaburan bernilai RM2.26 bilion yang dijangka menjana Pendapatan Negara Kasar (PNK) bernilai RM11.71 bilion menjelang 2020. Ia terdiri daripada Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) pelancongan, perubatan, pertanian, sawit dan getah, elektrik dan elektronik serta minyak dan gas. Sembilan projek baru berkenaan adalah sebahagian daripada 23 projek permulaan baru yang diumumkan sejak awal tahun ini, membabitkan pelaburan keseluruhan RM14.75 bilion dan dijangka menjana PNK bernilai RM20.1 bilion serta mewujudkan 88,354 pekerjaan tambahan menjelang 2020 di mana sektor pertanian mempunyai dua (2) projek yang dikenali sebagai Program Pertanian Baru. Ianya dilaksanakan memfokuskan kepada permodenan, mengkomersilkan hasil, skim tambahan nilai, teknologi terkini, bioteknologi dan pemasaran yang dipertingkatkan. Aktiviti hiliran digalakkan terutama bagi penanaman padi, sawit dan getah, sementara kawasan berpotensi tinggi dibangunkan untuk akuakultur, perikanan laut dalam, herba, perikanan hiasan dan hortikultur.

Melalui Lembaga Pembangunan Pertanian Muda (MADA), sebanyak RM99.6 juta diperuntukan di bawah NKEA pertanian tahun ini untuk meningkatkan sistem pengairan serta menggalakkan perkongsian antara petani kecil dengan petani besar. Di bawah bidang sama, Institut Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian Malaysia (MARDI) akan melabur RM26.6 juta untuk menggalakkan penanaman padi beras wangi di kawasan bukan jelapang dan memasarkannya sebagai beras wangi dan semula jadi dengan menyumbang RM133 juta kepada PNK.

Ianya adalah selaras dengan dasar RFN Ke-2 melalui dasar RFN8 (Tanah Padi Sedia Ada yang Berpotensi Tetapi Berada di Luar Kawasan Jelapang Padi, akan Dilengkapi dengan Infrastruktur yang  Bersesuaian Untuk Meningkatkan Produktiviti dan Hasil)