Thursday, 7 July 2011

Banjir & Peranan JPBD


Banjir merupakan fenomena yang berlaku setiap tahun di negara ini. Kejadian ini bukan sahaja berlaku ketika musim tengkujuh, malahan sepanjang tahun apabila berlakunya hujan lebat. Ia bukan sahaja menyebabkan kerugian harta benda, namun meragut nyawa.Secara umumnya, banjir boleh dianggap sebagai bencana alam semulajadi. Namun begitu, secara teknikalnya, ianya adalah kesan daripada pembangunan dan pengurusan alam yang tidak  dilakukan secara terancang, terkawal dan sempurna.

Baru-baru ini, beberapa negeri di selatan Malaysia terutamanya Johor telah dilanda banjir besar akibat hujan lebat yang mencurah-curah.  Banjir ini turut dirasai negeri-negeri jiran seperti Pahang, Melaka dan Negeri Sembilan. Taufan Utor dikatakan punca hujan luar biasa ini yang mengakibatkan hujan turun melebihi paras biasa dengan kadar 350mm dalam tempoh 24 jam. Ianya menyebabkan paras air naik serta merta dan menyebabkan banjir besar berlaku. Fenomena banjir jenis ini turut melanda negara jiran iaitu Singapura dan utara Sumatera, Indonesia.

Johor merupakan negeri yang paling teruk terjejas akibat banjir ini. Batu Pahat, Johor Bahru, Kluang, Kota Tinggi, Mersing, Muar, Pontian dan Segamat turut dilanda banjir. Hubungan ke Kota Tinggi dan Segamat telah terputus terus. Antara 90,000 orang telah dipindahkan dan bekalan makanan di pusat pemindahan dilaporkan terhad. Di Melaka, 3,193 orang dari 691 keluarga dari Melaka Tengah, Alor Gajah dan Jasin terpaksa berpindah. Di Pahang pula, lebih 3,000 orang dipindahkan di beberapa kawasan di Rompin, terutamanya di Bandar Tun Razak. Lebih 6,000 penduduk, termasuk di sembilan kawasan Felda Selancar, terkandas akibat dua jambatan yang rosak teruk di kawasan terbabit manakala di Negeri Sembilan, kawasan yang terbabit ialah Gemas dan Gemencheh. Sejumlah 80 orang telah dipindahkan.

Banjir berlaku disebabkan oleh beberapa faktor. Antara faktor-faktor berlaku banjir adalah:-

1. Hujan yang berterusan.
Hujan yang berterusan tanpa henti akan menyebabkan banjir berlaku. Aliran air hujan di kawasan tinggi terus mengalir dan memenuhi kawasan sungai. Sungai yang dipenuhi air akan melimpah keluar sehingga menyebabkan kawasan tanah rendah dipenuhi air. Keadaan ini menyebabkan berlakunya limpahan dan lebihan takungan sehingga melimpah ke kawasan rendah.

2. Proses Perbandaran.
Proses pembandaran melibatkan penerokaan dan pembukaan kawasan-kawasan baru untuk dimajukan dan dijadikan kawasan pembangunan. Proses penerokaan ini lazimnya melibatkan penebangan hutan yang menjejaskan pengurusan alam semulajadi. Kawasan tanah rendah ditebus guna  manakala kawasan bukit diterokai, pokok-pokok ditebang dan sistem pengaliran semulajadi terjejas. Keadaan ini menjadikan sistem aliran semulajadi dari kawasan bukit terjejas. Anak-anak sungai ditimbus untuk dibangunkan manakala tumbuhan penutup bumi yang berfungsi sebagai penyerap aliran semulajadi di tebang dan ditanah-tanah terbiar terdedah. Keadaan ini menyebabkan pengaliran asal air di alur-alur sungai  berubah dan melimpah ke kawasan tanah rendah dan hilirsungai. Apabila berlakunya hujan lebat, kawasan tersebut tidak mampu menampung limpahan air, dan menyebabkan banjir berlaku.

3.  Pencemaran dan Hakisan Sungai
Di Malaysia, terdapat dua punca utama pencemaran sungai, iaitu aktiviti pembangunan tanah serta sumber asli dan pembuangan sisa-sisa ke dalam air. Aktiviti pembangunan tanah dan sumber asli melibatkan pembukaan kawasan petempatan dan pertanian baru, pembalakkan, pembinaan infrastruktur fizikal seperti jalan raya, pembangunan bandar dan pembinaan projek-projek fizikal seperti perumahan dan perindustrian. Semua aktiviti ini menimbulkan masalah hakisan tanah yang mencemar air sungai dari segi kandungan bahan terampai, warna, kekeruhan, bahan organik dan masalah pemendapan sungai. Masalah pemendapan ini menyebabkan sungai menjadi cetek dan tidak dapat menampung laluan air. Sehubungan dengan itu, sekiranya hujan turut melebihi paras biasa, air sungai akan naik dan melimpah ke kawasan berdekatan.

Hakisan sungai pula berlaku apabila hujan turun dengan lebat, air akan mengalir deras and menghakis tebing-tebing sungai. Akhirnya tanah tebing akan runtuh dan membentuk satu mendapan di dasar sungai. Seterusnya sungai akan menjadi cetek dan menyebabkan limpahan ke kawasan rendah apabila paras air meningkat.

Begitu juga dengan aktiviti manusia yang suka membuang sisa-sisa domestik seperti sampah-sarap dan sisa-sisa industri ke dalam sungai boleh menyebabkan sungai menjadi cetek dan pengaliran air tersekat. Apabila hujan lebat turun, sungai yang telah menjadi cetek akibat hakisan semula jadi atau pencemaran tidak dapat menampung atau mengalirkan air hujan yang banyak. Akhirnya air sungai akan melimpah ke tebing dan dengan ini banjir akan berlaku.

3. Penerokaan Kawasan Hutan
Pemusnahan hutan yang melampau untuk tujuan pertanian dan pembalakan telah membawa beberapa kesan buruk khususnya dari segi keseimbangan ekosistem dunia. Pembalakan dan pengurusan tanah yang kurang teratur telah mengakibatkan ketidakstabilan aliran sungai dan seterusnya menyebabkan kawasan-kawasan tertentu menghadapi masalah kemarau sedangkan di kawasan-kawasan lain dilanda banjir.

Hutan merupakan satu kawasan yang menempatkan pelbagai jenis tumbuhan dan haiwan. Selain itu hutan juga boleh dijadikan sebagai pengimbang ekosistem dunia dengan merendahkan kadar suhu. Hutan menyerap air hujan yang turun ke permukaan bumi dengan kadar antara 2% hingga 20%. Seterusnya, air yang diserap akan dialirkan ke anak-anak pokok melalui akar. Pemusnahan hutan menyebabkan hujan terus turun ke bumi tanpa diserap oleh tumbuhan. Hujan yang turun dengan lebat menyebabkan air mengalir dengan banyak ke dalam sungai. Sungai tidak mendapat menampung air hujan dalam jumlah yang banyak. Pada masa ini limpahan air sungai akan berlaku mengakibatkan banjir.

4. Sistem Perparitan Tidak Terancang
Masalah banjir yang sering melanda kawasan bandar adalah disebabkan perancangan yang tidak menyeluruh seperti kekurangan sistem perparitan yang dibina serta rekabentuk / struktur parit yang terlalu kecil dan cetek.Perancangan sistem peparitan melibatkan banyak aspek seperti rekabentuk peparitan, saiz dan kelebaran untuk mengukur takat yang boleh ditampung serta susunatur yang melibatkan perletakan parit dan longkang untuk disalirkan air. Perancangan yang tidak tepat mampu menyebabkan belakunya banjir kerana limpahan keluar air.

Justeru, JPBD telah mengambil inisiatif dalam mengatasi masalah melalui perancangan jangka panjang yang lebih terperinci merangkumi penyediaan dasar dan manual kawalan pembangunan seperti garispanduan dan rancangan pemajuan. Melalui perancangan di peringkat makro, di bawah strategi pembangunan RFN Ke-2, langkah-langkah mitigasi dan adaptasi perubahan iklim yang dicadangkan turut melibatkan tindakan mengatasi masalah banjir. Dasar khas berkaitan peningkatan sistem insfrastruktur dan kemudahan sokongan disediakan bagi menampung keperluan semasa terutamanya di konurbasi utama iaitu Kuala Lumpur, George Town, Johor Bahru dan Kuantan. Ianya adalah antara langkah pemuliharaan dan penjagaan alam sekitar yang ditekankan dalam RFN Ke-2 ini.

Diperingkat mikro pula, terjemahan ke atas dasar-dasar berkaitan perubahan iklim dan adaptasi banjir ditekankan dan diperincikan ke dalam bentuk pelan spatial dan garispanduan untuk digunapakai dan dilaksanakan diperingkat tempatan. Selain daripada itu, pendekatan tradisional tebatan banjir diintegrasikan dengan langkah-langkah kawalan punca banjir berdasarkan Manual Saliran Mesra Alam (MSMA) yang dilaksanakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran. Peta risiko banjir bagi Semenanjung Malaysia akan disediakan bagi memastikan peruntukan dan pertimbangan mencukupi diberikan kepada aspek ini dalam perancangan fizikal dan guna tanah masa hadapan.  Dalam konteks ini, pendekatan kontemporari tebatan banjir berdasarkan langkah-langkah pencegahan dengan mengelakkan pembangunan di kawasan-kawasan mudah banjir perlu diguna pakai.


Dasar-dasar RFN Ke-2 turut yang menekankan kepada pengurusan fizikal dan usaha mengelakkan banjir adalah:

RFN 1 RFN Ke-2 berperanan sebagai rangka kerja perancangan spatial negara untuk mencapai perancangan guna tanah yang bersepadu dan mampan serta selaras dengan dasar-dasar sektoral yang lain.
RFN 20 Piawaian perancangan dan garispanduan pembangunan bandar perlu dirangka bagi memenuhi keperluan sebuah negara maju.
RFN 22 Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) perlu diintegrasi ke dalam perancangan dan pengurusan guna tanah dan sumber alam semula jadi.
RFN 25 Pembangunan di tanah tinggi perlu dikawal dengan tegas bagi melindungi keselamatan manusia dan mengekalkan kualiti persekitaran dan biodiversiti.
RFN 27 Rangka kerja perancangan spatial perlu mengambil kira langkah-langkah mitigasi dan adaptasi terhadap kesan-kesan perubahan iklim.
RFN 38 Infrastruktur perparitan perlu disediakan bagi semua petempatan untuk membendung kejadian banjir besar, banjir kecil dan pencemaran.

No comments: